JOHOR BAHRU – Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancarkan kempen menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes-kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, langkah tersebut tidak wajar kerana sudah pun diadili mengikut saluran di mahkamah.
“Saya ingin menegaskan bahawa dalam negara ini, tiada siapa yang berada di atas undang-undang. Sama ada rakyat biasa mahupun pemimpin negara, semua tertakluk kepada proses perundangan yang telus.
“Saya menyeru agar MUDA menghormati keputusan mahkamah dan proses perundangan negara.
“Kita ambil contoh kes yang melibatkan Presiden MUDA sendiri, YB Syed Saddiq. Walaupun beliau didakwa dan disabitkan kesalahan, tiada pihak yang cuba mempolitikkan keputusan itu.
“Semua akur bahawa badan kehakiman kita adalah bebas dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz melancarkan kempen itu hari ini yang dilihat penting kerana rakyat berhak tahu kebenaran.
“Sebab bagi saya, ini bukan sekadar kempen Muda. Ini adalah kempen semua rakyat Malaysia yang nak tahu kebenaran,” katanya.
Amira Aisya berkata, rakyat Malaysia mahu tahu bagaimana orang yang berada dalam kerajaan boleh lepas dengan begitu sahaja.
Kempen itu melibatkan siri demonstrasi, ceramah dan jelajah ke seluruh negara.
Mengulas lanjut, Mohammad Aswad berkata, sikap memilih untuk mempersoal hanya kes tertentu tetapi menutup mata apabila melibatkan pemimpin sendiri jelas menunjukkan double standard.
Jelas beliau, sikap seperti itu tidak membantu mengukuhkan keyakinan rakyat kepada sistem keadilan.
“Lebih baik sekiranya MUDA menumpukan perhatian kepada isu-isu rakyat, kos sara hidup, peluang pekerjaan, masa depan anak muda daripada terus mempolitikkan isu yang telah pun melalui saluran undang-undang.
“Anak muda memerlukan solusi, bukannya slogan jalanan. Sebagai anak muda, marilah kita sama-sama mengangkat politik yang matang, berhemah dan membina, bukan politik provokasi yang hanya menambah kekeliruan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















