KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memberi perhatian serius dalam membanteras penularan berita palsu berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta menambah derita kepada keluarga mangsa.
“Berita palsu yang tular bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi mengganggu usaha pihak berkuasa mengesan bukti penting dalam kes tersebut.
“Sebelum ini juga tular dakwaan kononnya adik Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh. Akhirnya terbukti ia hanyalah cerita palsu semata-mata.
“Tetapi kesannya telah menimbulkan kekeliruan serta menyukarkan pihak berkuasa menumpukan perhatian kepada siasatan sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
SEmentara itu, Zulkarnain juga menggesa pihak polis menubuhkan pasukan khas untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah.
“Langkah ini penting supaya fokus utama tidak teralih daripada isu sebenar, iaitu mencari dan membawa suspek pembuli ke muka pengadilan,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar terus memberikan sokongan penuh kepada usaha rakyat negeri itu menzahirkan solidariti melalui himpunan Justice For Zara.
“Kerajaan negeri boleh membantu keluarga mangsa dengan menyediakan sokongan kaunseling serta pakar psikososial, selain mewujudkan talian khas bantuan emosi untuk orang awam yang turut terkesan dengan kes ini.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri perlu menjadi jambatan komunikasi antara rakyat dan pihak berkuasa melalui penyaluran maklumat rasmi secara berkala,” katanya.
Menurutnya, dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan negeri, polis, MCMC serta kerjasama rakyat, keadilan untuk Allahyarhamah Zara dapat ditegakkan. – MalaysiaGazette
















