SHAH ALAM – Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris berharap supaya permohonan untuk menggali semula kubur dan bedah siasat kedua anaknya dibenarkan pihak mahkamah.
“Harapan saya supaya permohonan kami diluluskan dan dapat buat bedah siasat kedua dan kami nak siasatan yang telus (dijalankan),” kata Ummu Haiman Bee Daulatgun ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, peguam mewakilinya, Datuk Naran Singh berkata, pihaknya buat masa ini mengutamakan dua perkara tersebut demi mengetahui punca kematian pelajar lelaki berkenaan.
“Permohonan kedua, inkues (tapi) masa ini itu ketepikan dulu, yang utama adalah gali semula kubur dan bedah siasat kedua. Yang penting dua ini.
“Biar kita selesaikan kes ini dengan damai, jangan jadi macam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir,” katanya.
Terdahulu, ibu Allahyarham Syamsul hari ini mengemukakan permohonan supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Prosiding dengar permohonan gali semula kubur Syamsul ditetapkan 25 Ogos ini
















