Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun 45 selepas hadir pendengaran hujahan notis permohonan gali semula jenazah anaknya Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22 bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan ketika di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2025.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan prosiding pendengaran hujahan notis permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua ke atas Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin berusia 22 tahun itu pada Isnin depan.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas pihak Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara memohon masa untuk mengemukakan affidavit balasan yang dibuat ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu, Ummu Haiman Bee Daulatgun.

Terdahulu, permohonan tersebut dikemukakan oleh Ummu Haiman, 45, menerusi peguamnya Datuk Naran Singh.

Kemudian kedua-dua responden memohon tempoh dua minggu bagi mengemukakan afidavit balasan.

Bagaimanapun, peguam membantah kerana menganggap tempoh tersebut terlalu lama.

“Kami percaya seminggu cukup kerana mayat telah dikebumikan pada 29 Jun. Maka memadai kami mohon dapat afidavit balas dalam tempoh seminggu,” katanya di depan hakim Datuk G Bhupindar Singh.

Hakim kemudian mengarahkan supaya kedua-dua responden memfailkan afidavit selewatnya Jumaat ini.

Sebagai info, responden yang mewakili KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail iaitu Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin manakala responden kedua mewakili Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar iaitu Pengarah Pendakwa Selangor Datin Kalmizah Salleh yang turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan.

Selain itu, peguam Ummu Haiman turut memohon supaya pihaknya dibekalkan gambar bedah siasat pelajar itu yang dilakukan sebelum ini.

Pihaknya juga memohon supaya bedah siasat kedua (sekiranya dibenarkan kelak) dijalankan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Naran dan peguambela sebagai pemerhati.

Sebagai rekod, Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor.

Susulan itu, pada 1 Ogos lalu, ibunya dilapor menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya disebabkan punca kematian yang belum jelas serta meragukan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast