Fatin Nadia Ahmad Kamil

JOHOR BAHRU – Puteri UMNO Johor bersedia berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam menjayakan kempen dan program kesedaran anti buli.

Ketua Biro Pendidikan Pergerakan Puteri UMNO Johor, Fatin Nadia Ahmad Kamil berkata, bagi menjayakan kempen itu, pihaknya akan menggerakkan aktivis sayap itu di seluruh negeri untuk terlibat dalam semua kegiatannya.

Jelas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Segamat itu, ia melibatkan aktiviti pendidikan komuniti, bengkel kesedaran dan sokongan psikososial kepada pelajar.

Pihaknya juga menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri yang ditubuhkan kerajaan Johor dalam menangani gejala tersebut.

“Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif menyeluruh dalam menangani isu buli di sekolah.

“Penubuhan jawatankuasa ini yang melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, agensi keselamatan serta badan bukan kerajaan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan sekolah di Johor terus menjadi persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan kondusif.

“Puteri UMNO Johor menyokong penuh usaha holistik yang dilaksanakan melalui kerjasama antara sekolah, komuniti dan pihak berkuasa. Pendekatan ini mampu menangani isu buli secara lebih berkesan dari akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama pihaknya mengalu-alukan penubuhan mekanisme pemantauan serta saluran aduan yang lebih mudah dicapai bagi menggalakkan mangsa tampil membuat laporan tanpa rasa takut atau terasing.

Puteri UMNO Johor juga, katanya, menyarankan agar kempen kesedaran diteruskan di peringkat sekolah rendah hingga menengah termasuk sokongan kaunseling bagi membantu pemulihan emosi serta membentuk budaya empati dalam kalangan pelajar.

“Kami berpandangan bahawa pelaku buli perlu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Langkah ini penting untuk memberi pengajaran serta mesej jelas bahawa perbuatan buli tidak akan ditoleransi,” ujarnya.

Fatin Nadia berkata, Puteri UMNO Johor percaya pendidikan nilai hormat, integriti dan belas ihsan wajar diterapkan secara konsisten sebagai modul jangka panjang bagi melahirkan generasi pelajar berakhlak mulia.

Pada 15 Ogos lalu, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi membendung isu buli yang semakin menular dalam kalangan pelajar dan membimbangkan daripada menjadi parah.

Jawatankuasa khas dengan kerjasama erat jabatan dan agensi berkaitan itu akan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi keselamatan serta pihak berkuasa untuk bekerjasama mencari penyelesaian yang berkesan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast