KUALA LUMPUR – Eksport negara pada bulan Julai 2025 mencatat pertumbuhan 6.8% kepada RM140.45 bilion, nilai bulanan tertinggi sejak September 2022, mencerminkan permintaan global yang berterusan terhadap barangan Malaysia.
Manakala import pula meningkat 0.6% kepada RM125.47 billion pada tempoh sama menjadikan lebihan dagangan kekal direkodkan bagi 63 bulan berturut-turut, berjumlah RM14.98 billion.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan prestasi perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai 2025, dengan merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi dalam sejarah, sebanyak 3.8% tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion.
Prestasi ini mencerminkan daya tahan eksport negara serta daya saing dalam perdagangan global.
Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) mencatat peningkatan ketara sebanyak hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion, kenaikan sebanyak 22.5% tahun ke tahun, berbanding Julai 2024, kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia, di samping barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses.
Kesemua barangan ini merekodkan nilai eksport tertinggi setakat ini.
Barangan lain yang turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport adalah jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Dari segi destinasi, eksport ke kesemua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan positif, dengan eksport ke Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini.
Eksport ke negara-negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat dengan pertumbuhan ketara eksport dicatatkan ke Mexico dan Korea (ROK), disokong terutamanya oleh peningkatan eksport barangan E&E.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan nilai kumulatif tertinggi setakat ini. Perdagangan meningkat 4.7% kepada RM1.731 trilion tahun ke tahun, dengan eksport naik 4.3% kepada RM900.47 bilion dan import berkembang 5.1% kepada RM830.16 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM70.32 bilion.
Prestasi perdagangan Malaysia yang memberangsangkan pada tujuh bulan pertama tahun 2025 direkodkan di sebalik penyemakan semula prospek perdagangan global.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi volum perdagangan barangan dunia pada tahun 2025 kepada 0.9%, berbanding
unjuran terdahulu iaitu penguncupan 0.2%. Pemulihan sederhana ini dipacu terutamanya oleh peningkatan mendadak dalam import AS yang direkodkan pada awal
tahun.
Selain itu, keputusan kerajaan AS untuk mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25% kepada 19% mencerminkan pendekatan diplomasi
perdagangan yang terancang dan berdisiplin oleh MITI. Kadar tarif ini yang dilihat sejajar dengan kebanyakan rakan negara ASEAN, akan terus menyokong daya saing negara.
Walaupun berdepan dengan cabaran perdagangan global dan tekanan tarif daripada AS, prestasi perdagangan Malaysia yang stabil telah menyumbang kepada
pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.4% bagi suku kedua tahun 2025.
MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus berwaspada dalam mengendali landskap perdagangan antarabangsa yang semakin berubah serta ketegangan geopolitik yang kian meningkat. – MalaysiaGazette
















