Kanak-kanak Palestin beratur untuk mendapatkan hidangan panas di sebuah pusat agihan makanan di Nuseirat pada 30 Jun 2025. foto AFP

GENEVA – Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan pada Selasa lebih 1,850 rakyat Palestin maut ketika cuba mendapatkan makanan di Gaza dalam tempoh kurang tiga bulan.

Ia turut memberi amaran bahawa keadaan kemanusiaan semakin meruncing berikutan sekatan bantuan oleh Israel yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Untuk mendapatkan bekalan yang terhad boleh menjadi usaha yang membawa maut,” kata jurucakap Thameen Al-Kheetan kepada wartawan di Geneva, sambil menjelaskan bahawa antara 27 Mei hingga 17 Ogos, pejabat itu merekodkan 1,857 rakyat Palestin maut ketika mencari makanan, “termasuk 1,021 terbunuh di sekitar lokasi Yayasan Kemanusiaan Gaza, dan 836 lagi terbunuh di laluan lori bekalan.”

“Kebanyakan daripada pembunuhan ini dipercayai dilakukan oleh tentera Israel,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa “risiko kebuluran wujud di seluruh Gaza,” dan menyifatkannya sebagai “kesan langsung daripada dasar Kerajaan Israel yang menyekat bantuan kemanusiaan.”

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa Israel hanya membenarkan kemasukan bantuan dalam jumlah yang jauh lebih rendah daripada tahap minimum yang diperlukan untuk mengelakkan kebuluran yang meluas,” katanya.

Jurucakap itu turut menyatakan ratusan ribu rakyat Palestin yang dipindahkan ke kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis, selatan Gaza, hampir tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan dan bekalan asas termasuk makanan, air, elektrik dan khemah.

Beliau berkata tentera Israel telah meningkatkan serangan di utara semenanjung itu, manakala arahan pemindahan terus dikeluarkan meskipun di kawasan yang turut diserang.

Jurucakap itu turut mengingatkan kenyataan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk yang memberi amaran terhadap rancangan pengambilalihan Bandaraya Gaza secara ketenteraan, sambil menegaskan bahawa langkah sedemikian “mesti segera dihentikan.”

Al-Kheetan berkata rancangan itu membawa “risiko besar” kepada orang awam, termasuk perpindahan besar-besaran, lebih banyak kematian dan peningkatan penderitaan.

Beliau juga mengulas mengenai rakaman video yang menunjukkan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir mengejek dan menghina pemimpin Palestin Marwan Barghouthi secara berdepan di sebuah penjara Israel.

“Rakaman video yang menunjukkan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir mengecam dan mencemuh pemimpin Palestin Marwan Barghouthi dalam penjara Israel adalah tidak boleh diterima,” katanya.

“Tingkah laku menteri itu dan penerbitan rakaman berkenaan merupakan serangan terhadap maruah Barghouthi.”

Israel telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.

— BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast