Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan, perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ yang terkandung dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebagai tidak berperlembagaan.

Ini bermakna, penghantaran komen yang menyinggung secara dalam talian yang sebelum ini merupakan satu kesalahan di bawah akta itu, bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 8.

Perkara 10 berhubung kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan manakala Perkara 8 pula menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng berpuas hati terdapat merit dalam rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li yang menyatakan tiada kaitan rasional antara komunikasi yang dipersoalkan dan ancaman terhadap ketenteraman awam dalam konteks Seksyen 233 akta tersebut.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Heidy yang memfailkan saman pemula bagi mencabar sebahagian Seksyen 233 (sebelum pindaan).

Seksyen 233(1)(a), sebelum pindaan memperuntukkan, adalah salah bagi seseorang untuk membuat, mencipta atau meminta, dan memulakan penghantaran komen dalam talian yang bersifat ‘lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menghina’ dengan ‘niat untuk menjengkelkan, menyalahguna, mengugut atau mengganggu orang lain’.

Mengikut seksyen yang telah dipinda dan berkuat kuasa Februari lalu, perkataan ‘offensive’ telah digantikan dengan ‘grossly offensive’ (sangat menghina).

Dalam penghakiman itu, Swee Seng yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berkata, pendakwaan kerana perkataan menjelikkan atau menyinggung pihak ketiga tidak boleh ditafsirkan sebagai menjejaskan ketenteraman awam.

Panel itu berpendirian, umum mengetahui bahawa kebenaran kadang kala menyakitkan dan mengungkap kebenaran secara berhemah adalah sesuatu yang sukar.

Ujar beliau, ada pihak-pihak yang tidak mampu menerima kebenaran lalu tersinggung dan terganggu dengan perkataan yang diucapkan.

“Fakta bahawa kebenaran itu mungkin tidak menyenangkan, tidak sepatutnya menjadi asas untuk menghukum penyampai mesej berkenaan.

“Jika tindakan seperti ini dianggap satu kesalahan, terutama apabila terdapat banyak laporan polis dibuat, maka kebebasan bersuara akan menjadi terancam,” ujar beliau.

Hakim Swee Seng selanjutnya berkata, dalam sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kepercayaan, apa yang dianggap menghina oleh seseorang mungkin tidak bagi orang lain.

Beliau menjelaskan, tumpuan sepatutnya kepada kebenaran kandungan yang didakwa menghina.

“Jika benar, pihak seperti Jabatan Imigresen perlu memperkemas prosedur operasi standard (SOP) mereka bagi memastikan COVID-19 tidak merebak dalam pusat tahanan. Jika kandungan itu palsu, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233(1) AKM.

“Skop Seksyen 233 AKM terlalu luas sehingga tiada pengecualian terhadap ucapan yang menghina walaupun ia benar.

“Dalam tindakan sivil, seseorang boleh menggunakan pembelaan seperti komen adil atau keistimewaan bersyarat, tetapi komunikasi yang sama tetap menjadi kesalahan jenayah tanpa pembelaan itu,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun berpendirian, keputusan hanya terpakai bagi kes ke hadapan dan tidak menjejaskan kes yang telah selesai diputuskan.

Pada 27 Julai 2021, Heidy yang juga pengasas NGO Refuge for the Refugees, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkongsi kandungan menghina berhubung satu hantaran di laman Facebook yang mendakwa layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen.

Beliau dituduh membuat hantaran itu melalui akaun Facebook atas nama ‘Heidy Quah’ dengan niat untuk menghina orang lain pada kira-kira pukul 5.30 pagi, pada 5 Jun 2020.

Pada 25 April 2022, Heidy dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas Mahkamah Sesyen membenarkan permohonannya, kemudian beliau memohon dilepas dan dibebaskan.

Ketika pendengaran bagi permohonan pembebasan penuh, Heidy memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos 2021 untuk mencabar peruntukan Seksyen 233 yang dipertuduhkan terhadapnya.

Pada 12 September 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya tanpa perintah berhubung kos. Heidy kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.