gensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A pada petang semalam

KUANTAN– Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang selepas didapati melanggar syarat sah lesen kira-kira 9.2 batu nautika timur Tanjung Tembeling, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel berkenaan dikesan ketika sedang bersauh oleh pasukan ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris 3.0 pada jam 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tiga kru termasuk tekong, semuanya warganegara Thailand berusia antara 39 hingga 47 tahun berada di atas vesel berkenaan.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen perikanan iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, vesel bersama tekong, kru dan peralatan menangkap ikan di bawa masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

Tambah Mazlan, hasil pemeriksaan mendapati tiada hasil laut ditemui di atas vesel berkenaan.

“Pemilik bot nelayan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia sebelum menggaji pekerja asing.

“Jika tidak, ia dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazetteMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast