Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun pada jam 10.20 malam, semalam susulan satu hantaran video yang mengandungi kenyataan palsu berhubung siasatan kes Zara Qairina Mahathir yang mana ia menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.

Turut dirampas adalah satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk M Kumar berkata, lelaki berkenaan kini direman selama tiga hari sehingga 21 Ogos ini.

“Pada 15 Ogos 2025, PDRM telah mengesan satu hantaran video yang ditularkan oleh akaun TikTok @BERJUANGUNTUKZARA bertajuk “Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara” yang mengandungi audio perbualan penemuan hasil bedah siasat Zara Qairina.

“Semakan awal polis mendapati hantaran video berdurasi 2 minit 6 saat tersebut mengandungi kenyataan yang tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/08/19/lambakan-wartawan-jadian-kes-zara-qairina-cetus-kegusaran/

https://malaysiagazette.com/2025/08/19/zara-qairina-mcmc-berjaya-kesan-individu-menyamar-pakar-patologi/

Menurut M Kumar, siasatan berhubung penularan video berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Menurut beliau, susulan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 13 Ogos lalu untuk mengadakan inkues kes kematian Zara Qairina, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta bertujuan untuk menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam atau menganggu prosiding mahkamah.

Masyarakat juga tegas beliau, diingatkan agar tidak mudah percaya sebarang maklumat yang diakses di media sosial tanpa menentusahkan kesahihannya terlebih dahulu terutama berkaitan isu keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara.

PDRM katanya, menyeru semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast