Warga emas maut dilanggar selepas motosikal ditunggangnya masuk ke persimpangan jalan secara mengejut di Jalan Muar-Batu Pahat, Muar hari ini.

MUAR – Seorang warga emas maut dilanggar selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta di Jalan Muar-Batu Pahat, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Abdul Aziz berkata, kejadian itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta pada pukul 9.05 pagi.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Sungai Balang Kecil apabila seorang wanita berusia 47 tahun sedang memandu dari arah Parit Jawa ke Parit Yusof.

“Dia kemudian terlanggar motosikal ditunggang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang masuk ke persimpangan jalan secara mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut warga emas tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Beliau meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairun Izham Noor Yusry di talian 013-9121508 atau tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast