Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media berkenaan rampasan dadah syabu bernilai 13,608,128.00 Juta di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2025.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan membongkar stor simpanan dadah jenis syabu di sekitar Lembah Klang bernilai RM13.6 juta. hasil risikan selama tiga bulan.

Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada Isnin lalu pasukannya melakukan empat serbuan dan menangkap lima lelaki tempatan berumur 33 hingga 64 tahun.

Menurutnya suspek pertama ditangkap bersama 103.87 kilogram (Kg) syabu dalam keretanya di kawasan tempat letak kereta ditahan Bandar Tujuh, Pusat Bandar Puchong.

Manakala, suspek kedua pula ditahan di tepi jalan Lebuhraya Damansara -Puchong.

“Serbuan kedua membawa pemeriksaan lanjut di sebuah rumah sekitar Pusat Bandar Puchong yang menjumpai syabu 37.21 gram.

“Serbuan ketiga bertempat di restoran sekitar Bandar Puchong Jaya, dengan suspek ketiga dan keempat membawa kepada serbuan di rumah teres sekitarnya dengan rampasan dadah 321.02 kg syabu,” katanya ketika sidang media.

Tambah beliau, suspek kelima yang juga koordinator sindiket tersebut ditangkap di kawasan LRT Sri Petaling.

Menurut beliau, kesemua syabu yang dirampas adalah seberat 425.25 kg.

Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai mendapat bekalan dadah daripada negara jiran untuk dijual di Sabah dan Sarawak seterusnya ke Kalimantan, Indonesia.

Beliau tidak menolak sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Mengulas lanjut Hussein berkata, JSJN juga telah menyita harta bernilai RM133,350 yang merupakan rampasan daripada serbuan sindiket tersebut.

Dalam pada itu, Hussein berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 25 Ogos depan.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 13 sebatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast