KULAI – Kuil Dewi Sri Nagakani, di sini, akan dipindahkan ke kawasan berhampiran selepas isu tapak dan kos pembinaan semula yang tertangguh berjaya diselesaikan.
Ketua MIC Bahagian Kulai, Datuk A Sivachandran mengakui lega kerana perjuangannya dan parti tersebut untuk memindahkan kuil berusia 80 tahun itu berjaya direalisasikan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) Zon Airport City berkata, terdapat beberapa isu yang menghalang kuil itu untuk dipindahkan hingga mencetuskan kontroversi dan kegelisahan dalam kalangan penganutnya.
“Saya sudah bermesyuarat tadi selepas melawat tapak baharu untuk kuil ini dan kerajaan sudah meluluskan untuk pembinaan semula Kuil Dewi Sri Nagakani.
“Kuil ini sudah lama wujud malah sebelum kawasan perumahan dibuka di kawasan sekelilingnya,” katanya selepas melawaat tapak baharu kuil tersebut, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang juga Ahli Dewan Undangn Negeri (ADUN) Buki Permai.
Pada 13 Ogos lalu, kuil tersebut yang berada di atas bukit rosak selepas dihempap pokok akibat ribut dan kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000.
Berikutan itu, pihak pengurusan kuil tersebut dan MIC meneruskan rancangan memindahkan rumah ibadat tersebut ke tapak baharu yang disediakan pihak pemaju.
Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kos membina semula kuil tersebut berjumlah RM500,000 yang akan ditanggung pihak pemaju, IOI Properties Group Bhd.
Jelasnya, isu kuil tersebut dapat diselesaikan selepas usaha dilakukan sejak enam tahun lalu melibatkan ahli majlis daripada MIC, wakil rakyat dan pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, kerja-kerja membina semula kuil itu di kawasan seluas lebih 1 hektar iaitu melibatkan bangunan utama (0.2 hektar) dan kawasan lapang (0.8 hektar).
“Kerja-kerja membina kuil ini akan mengambil masa antara empat hingga lima bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini,” ujarnya.
Pihak pemaju kata beliau, akan turut menyediakan kemudahan elektrik dan air.
Menurutnya, lokasi tapak kuil baharu itu strategik kerana tidak jauh dari kawasan perumahan dan pada masa sama berada di tepi jalan. – MalaysiaGazette
















