Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin pada sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan Blok ND6 dan Blok ND7 yang terletak di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif atau Pelantar Benua.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, cadangan bersama yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 hanya melibatkan sebahagian daripada zon laut wilayah di kawasan Laut Sulawesi.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan berhubung dengan perkara berkaitan persempadanan maritim Malaysia.

“Usaha ini dilakukan dengan pendekatan, whole of government dan penuh komitmen dalam melaksanakan rundingan dengan negara-negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Justeru, dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bertanyakan kepada Menteri Luar Negeri tentang kerjasama ekonomi bersama melibatkan Blok ND6 dan Blok ND7 yang telah dibincangkan dalam perundingan bersama Presiden Indonesia.

Mohamad juga berkata, rundingan dalam Triti Laut Sulawesi melibatkan wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak di dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara Malaysia dan Indonesia.

“Kehadiran Ketua Menteri Sabah dan Premier Wilayah Sarawak ini merupakan amalan yang biasa dipraktikkan di mana mereka akan turut serta bersama delegasi Perdana Menteri setiap kali Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia diadakan,” katanya.

Selain itu, katanya, kehadiran Ketua Menteri Sabah ke Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ini juga bukanlah tertumpu kepada hal ehwal maritim sahaja namun ia berkait dengan perkara-perkara berkaitan dengan Sabah.

“Antara lainnya melibatkan aspek-aspek persempadanan darat, ekonomi dan perdagangan serta pendidikan (community learning centre) yang melibatkan pihak Indonesia,” katanya.

Selain itu, katanya, perbincangan kerjasama pembangunan bersama di kawasan ND6 dan ND7 dengan Indonesia tidak akan menjejaskan tuntutan maritim Malaysia khususnya kepentingan Sabah Timur.

“Kerajaan dalam membuat apa-apa keputusan sentiasa membuat penilaian terperinci, berhati-hati dan berhemah.

“Pandangan dan pendirian Kerajaan Sabah diambil secara serius bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast