CALIFORNIA – Seorang warga China telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana menyeludup senjata api dan barangan ketenteraan lain ke Korea Utara, kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Shenghua Wen, 42, menerima kira-kira AS$2 juta daripada pegawai Korea Utara untuk menghantar barang-barang itu dari California, menurut kenyataan agensi itu pada Isnin.
Wen yang menetap di Ontario, di sini telah ditahan sejak Disember 2024 mengaku bersalah pada bulan Jun lalu kerana bersubahat melanggar Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa dan menjadi ejen haram kerajaan asing.
Kes Wen ini menunjukkan tentang pelbagai cara Korea Utara mengelak sekatan antarabangsa ke atas perdagangan senjatanya.
Menyifatkan Wen sebagai “orang asing haram”, jabatan kehakiman berkata, dia memasuki AS dengan visa pelajar pada 2012 dan kekal di negara itu selepas visanya tamat pada Disember 2013.
“Sebelum memasuki Amerika Syarikat, Wen bertemu dengan pegawai dari kerajaan Korea Utara di Kedutaan Korea Utara di China. Pegawai kerajaan ini mengarahkan Wen untuk mendapatkan barangan bagi pihak Korea Utara.
Dua pegawai Korea Utara menghubungi Wen melalui platform pemesejan dalam talian pada 2022 dan memberitahunya untuk menyeludup senjata api dan barangan lain dari AS ke Korea Utara, menurut jabatan tersebut.
Pada 2023, dia yang memfailkan maklumat eksport palsu tentang kandungan kontena menghantar sekurang-kurangnya tiga kontena senjata api dari Pelabuhan Long Beach ke China, dengan destinasi terakhir mereka adalah Korea Utara.
Satu kontena sedemikian, yang dilaporkannya membawa peti sejuk, tiba di Hong Kong pada Januari 2024 sebelum dihantar ke Nampo, Korea Utara.
Dia juga membeli perniagaan senjata api di Houston dengan wang daripada kenalan Korea Utara, dan memandu senjata dari Texas ke California, yang mana ia diatur untuk dihantar.
September lalu, Wen membeli sekitar 60,000 butir peluru 9mm dengan rancangan untuk menghantarnya ke Korea Utara.
Pihak berkuasa AS juga berkata, Wen memperoleh “teknologi sensitif” untuk dihantar ke Korea Utara, seperti peranti pengenalan ancaman kimia dan alat penerima jalur lebar yang boleh dipegang dengan tangan
“Wen mengakui dalam perjanjian rayuannya ada setiap masa yang relevan dia tahu adalah menyalahi undang-undang untuk menghantar senjata api, peluru, dan teknologi sensitif ke Korea Utara,” kata jabatan kehakiman.
Di bawah sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Korea Utara dilarang daripada berdagang senjata dan peralatan ketenteraan.
AS juga telah mengenakan sekatan ke atas Korea Utara berhubung aktiviti nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
Tetapi Korea Utara telah membangunkan cara untuk mengatasi sekatan.
Pada 2015, AS menyenaraihitamkan firma perkapalan yang berpangkalan di Singapura kerana didakwa menyokong penghantaran senjata haram ke Korea Utara. Pada 2016, pihak berkuasa Mesir telah memintas sebuah kapal Korea Utara yang mengandungi lebih 30,000 bom tangan menuju ke Mesir.
Dan pada 2023, British American Tobacco terpaksa membayar lebih daripada AS$600 juta kerana menjual rokok ke Korea Utara yang melanggar sekatan. – Agensi
















