KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 41,814 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara bagi Minggu Epidemiologi ke-33 2025 setakat 16 Ogos lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kebanyakan kes bergejala ringan dan hanya dua kematian dilaporkan sehingga kini, berbanding 58 kes kematian dilaporkan sepanjang 2024.
“Peningkatan kes dikaitkan dengan perubahan sub-varian, dengan kebanyakan kes bergejala ringan dan vaksin sedia ada masih mampu memberikan perlindungan terhadap sub-varian ini.
“Selari dengan situasi global, terdapat peningkatan kes di negara ini bermula 6 April 2025 (ME15/2025), berbanding 83,018 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap ancaman varian Covid-19 terkini kepada golongan berisiko tinggi memandangkan negara mencatatkan kematian pertama pada tahun ini dan sebanyak 57 kematian pada tahun lepas.
Lukanisman berkata, tahap ancaman varian Covid-19 terkini terhadap golongan berisiko masih rendah dan terkawal, kerana Malaysia kini berada dalam Fasa Hidup Bersama Covid-19,
“Penyakit ini dikendalikan sebagai sebahagian daripada jangkitan saluran pernafasan lain seperti influenza dan jangkitan virus yang lain.
“Walaupun trend peningkatan atau penurunan kes merupakan suatu perkara biasa, komplikasi masih boleh berlaku, khususnya dalam kalangan golongan berisiko seperti warga emas dan individu dengan komorbiditi,” katanya.
Katanya lagi, KKM sentiasa memantau situasi semasa Covid-19 di dalam dan luar negara, termasuk pelaksanaan penjujukan genomik bagi mengesan kewujudan varian atau sub-varian baharu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
“Pemberian vaksin Covid-19 secara sukarela dan percuma diteruskan di fasiliti kesihatan terpilih.
“KKM juga terus menyalurkan maklumat dan syor terkini berdasarkan penilaian risiko semasa.
“Ini termasuk langkah-langkah pencegahan boleh diamalkan oleh masyarakat seperti pengambilan vaksin khususnya golongan berisiko, amalan kebersihan kendiri, etika batuk dan bersin, dan pemakaian pelitup muka apabila bergejala atau berada di tempat sesak,” katanya. – MalaysiaGazette

















kepala buthoww. mana ada Org cek covid dah Skrang. penipu je