Alexander Nanta Linggi

GEORGE TOWN – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mendapatkan laporan geoteknikal untuk menilai keadaan cerun di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini.

Langkah itu diambil susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku hanya beberapa meter dari kediaman penduduk, kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan teknikal itu penting bagi memastikan keadaan cerun dinilai secara menyeluruh serta merancang pembaikan jangka panjang.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian cerun runtuh petang tadi dan bersyukur kerana tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

“JKR Pulau Pinang bertindak segera di lokasi sejurus menerima laporan dengan menutup kawasan cerun menggunakan kanvas bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Cerun runtuh berhampiran kawasan perumahan di Ayer Itam, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui JKR memberi keutamaan kepada aspek keselamatan rakyat, khususnya di kawasan cerun berisiko.

“Tindakan pantas ini hasil penyelarasan erat bersama Pejabat Daerah, PDRM, Bomba, APM, pejabat ADUN Paya Terubong dan ADUN Air Itam serta pihak berkuasa tempatan yang sentiasa bersiap siaga demi keselamatan penduduk,” katanya.

Alexander turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat serta memberi jaminan kementerian akan memantau rapat perkembangan insiden itu agar kerja pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

ARTIKEL BERKAITAN

Hujan lebat berpanjangan disyaki punca tanah runtuh di Ayer Itam

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan hujan lebat berpanjangan mencetuskan insiden tanah runtuh berhampiran tiga buah rumah di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, cerun setinggi kira-kira sembilan meter runtuh dengan keluasan dianggarkan 15 x 15 kaki persegi hanya beberapa meter dari kediaman penduduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast