Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Mulai hari ini, seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 di Portal
Rasmi SARA, https://sara.gov.my.

Kementerian Kewangan berkata, setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.

Menurutnya, tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Ucapan Penghargaan Kepada Rakyat memaklumkan Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember 2025.

“Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan Madani, yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa, untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat sejagat,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

Kementerian Kewangan berkata, penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan — sebagai contoh, pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO, tempat ibadat dan sebagainya.

Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400.

Oleh itu orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau scammer, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.

Penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal berkenaan.

Bagi memastikan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya secara saksama, baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan Madani yang akan diputuskan kelak.

Bantuan Penghargaan SARA ini boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa.

Penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.

Dengan pelaksanaan program Penghargaan SARA, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA telah meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15
bilion bagi tahun 2025, 50% lebih tinggi daripada RM10 bilion pada tahun 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast