Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir bersama peserta-peserta yang hadir pada Himpunan Aman Solidariti Pencarum KWSP seluruh Malaysia bagi menyerahkan 2 Memorandum, di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Lebih 450 individu membuat bantahan terhadap cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mewujudkan Akaun Persaraan dan Akaun Pencen yang dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bantahan yang turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyerahkan memorandum yang akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PGIRM, Mahathir Mazahar Khan

Timbalan Presiden PGIRM, Mahathir Mazahar Khan berkata, cadangan mewujudkan akaun itu disifatkan menghadkan pengeluaran penuh persaraan pada usia 55 tahun kerana memaksa rakyat menerima bayaran secara pencen tanpa diberikan sebarang pilihan.

“Bagi kami ia satu cadangan yang tidak wajar jika pihak kerajaan menyifatkan 16 juta pencarum KWSP sebagai tidak tahu menguruskan kewangan persaraan mereka hanya disebabkan segelintir yang kurang bijak berbelanja

“Jujurnya, pihak kami menerima banyak aduan daripada pencarum yang membantah cadangan tersebut selain akan melancarkan deklarasi tandatangan seluruh negara bagi menolak cadangan itu,” katanya.

Terdahulu, Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir menyerahkan memorandum tersebut kepada Anwar melalui Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir menyerahkan memorandum tersebut kepada Anwar melalui Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin di Pejabat Perdana Menteri.

Tambah Mahathir, sekiranya cadangan mewujudkan akaun itu diteruskan, pihaknya menuntut pertimbangan kepimpinan perdana menteri untuk membenarkan sedikit pengeluaran daripada Akauan Persaraan.

“Kami meminta agar pencarum yang terdesak dibenar mengeluarkan 50 peratus daripada Akaun Persaraan mereka bagi menyelesaikan masalah kewangan dengan baki simpanan disalurkan sebagai bayaran bulanan.

“Bagaimanapun, cadangan berkenaan hanya terpakai untuk pencarum berusia 31 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM20,000 dalam Akaun 1,” ujarnya.

Peniaga, Zuraida Kamal Ariffin bercakap pada Himpunan Aman Solidariti Pencarum KWSP seluruh Malaysia bagi menyerahkan 2 Memorandum di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2025

Sementara itu, ibu tunggal dari Ipoh, Perak, Zuraida Kamal Ariffin, 50, yang juga pencarum KWSP berharap pengeluaran simpanan daripada Akaun Satu dapat dilaksanakan kerajaan untuk menampung kos sara hidupnya.

Katanya, walaupun akaun fleksibel telah diwujudkan kerajaan namun mereka yang tiada pendapatan tetap untuk masuk ke dalam Akaun Dua bagi pengeluaran akaun tersebut.

“Sebelum ini saya tidak bekerja kerana sakit saraf dan kini dalam proses pemulihan. Sebelum Covid-19, saya berpendapatan tetap RM3,000 dan sekarang turun RM1,700 hanya bekerja sambilan sebagai pembantu kedai kek.

“Saya perlukan sangat pengeluaran akaun satu kerana perlu membayar hutang dan keperluan dua orang anak saya yang masih bersekolah yang tidak cukup saban hari sebab sayalah ibu, sayalah bapa,” katanya.

Salah seorang peserta, Rosdan Ali bercakap pada Himpunan Aman Solidariti Pencarum KWSP seluruh Malaysia bagi menyerahkan 2 Memorandum di hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 OGOS 2025

Pandangan sama turut disuarakan seorang bekas pekerja bank, Rosdan Ali, 53, berasal dari Kuala Terengganu berkata, dia kini terpaksa berniaga kuih muih di tepi jalan lebih 10 tahun bagi menampung kos perbelanjaan belajar anak-anaknya.

“Saya diberhentikan dari kerja pada 2015 dan kini perlu menampung empat orang anak dengan tiga masih belajar di universiti dan seorang anak lagi bersekolah rendah.

“Saya perlukan sangat pengeluaran akaun itu kerana semakin hari, makin tinggi perbelanjaan hidup sekarang dengan pelbagai kos perlu ditanggung seorang ayah yang sudah berusia ini.

“Kami berharap Perdana Menteri mendengar keluh resah rakyat yang hidup susah dengan dibebani pelbagai hutang yang perlu ditanggung hampir RM3,000 sebulan,” luahnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast