KUALA LUMPUR – Pelantikan konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding Tabung Haji (TH) yang dilakukan melalui proses rundingan terus tidak melibatkan dalam urusan dasar institusi kewangan umat Islam itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, ini kerana keputusan akhir termasuk dasar akan ditentukan kepimpinan TH.
“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan TH iaitu Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain, seorang tokoh korporat terbukti ketokohannya, dalam urusan ‘execution’.
“TH melalui proses rundingan terus yang ketat telah memilih konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding yang memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus.
“Ia bagi menyusun semula strategi untuk memberi nafas baharu kepada institusi terutamanya fungsi tabungan bagi menangani kedudukan simpanan yang rendah dalam kalangan pendeposit.
“Saya mendapati penjelasan berkaitan runding terus TH kepada syarikat terbabit mempunyai kewajaran dan justifikasi yang munasabah,” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary bertanyakan kepada Perdana Menteri tentang amalan perolehan secara runding terus masih diamalkan TH sebagai satu badan berkanun di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Naim berkata, rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu, terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus.
“Antaranya khidmat perundingan strategik, tinjauan dan kajian pasaran dan lain-lain perkhidmatan yang tidak dapat diperolehi melalui proses tender biasa dengan tujuan untuk memelihara kepentingan pendeposit TH,” katanya.
Selain itu, katanya, pemilihan itu melalui proses tadbir urus yang ketat merangkumi penilaian kepakaran teknikal dan komersial menyeluruh, rundingan harga serta kelulusan Jawatankuasa Tender dan seterusnya Lembaga Pengarah.
“Proses ini bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan nilai terbaik kepada organisasi.
“Sebarang pembekal perkhidmatan yang dilantik TH telah melalui proses saringan pemilihan ketat dan mematuhi sepenuhnya polisi dan garis panduan perolehan sedia ada dengan dikawal selia secara rapi oleh Ahli Lembaga Pengarah.
“Polisi dan garis panduan Perolehan TH telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah pada Disember 2021 dan dikuatkuasakan pada Mac 2022.
“Kaedah perolehan yang dilaksanakan di Lembaga Tabung Haji melibatkan proses tender atau rundingan terus, di mana kebanyakan perolehan dilakukan melalui proses tender,” katanya.
Katanya, TH telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dikecualikan daripada proses Perolehan Kerajaan dan kuasa melantik itu diberikan sepenuhnya kepada Ahli Lembaga Pengarah.
Naim turut mengingatkan ahli Parlimen agar isu pelantikan konsortium gabungan syarikat-syarikat perunding dalam kalangan bukan Islam menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada TH.
“Saya mohon dengan penuh keikhlasan supaya kita semua membantu Kerajaan dalam usaha memelihara Tabung Haji. Janganlah sehingga perbahasan kita menyebabkan rakyat hilang keyakinan, lalu terdorong untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.
“Perlu kita insafi bahawa implikasi kepada tindakan tersebut sangat besar, bukan sahaja kepada institusi TH, malah kepada rakyat sendiri kerana simpanan inilah yang menjadi jalan untuk mereka menunaikan ibadah haji,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















