Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan 10 individu dan menyiasat 14 syarikat yang dipercayai terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut hingga menyebabkan kerugian kepada hasil negara dianggarkan lebih RM250 juta bagi tempoh tahun 2020 hingga 2024.

Sumber berkata, perkara yang dibimbangkan adalah sindiket ini dipercayai turut mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor pada 14 Ogos lalu, menunjukkan wujudnya rangkaian perlindungan yang lebih luas.

Menurut sumber, sindiket ini dipercayai menggunakan taktik pengisytiharan palsu semasa proses import dengan menukar kod kastam atau butiran barang.

Katanya, rokok dan cerut yang diseludup disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.

“Berdasarkan siasatan awal, kegiatan penyeludupan ini berkemungkinan turut didalangi segelintir penguat kuasa yang memberi laluan mudah untuk menyeludup barangan berkenaan di pintu masuk negara selain melindungi operasi gudang penyimpanan serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Bayaran kepada penguat kuasa terlibat dipercayai dibuat secara tetap melalui wang tunai atau orang tengah bagi mengaburi jejak kewangan,” katanya.

Selasa lalu, Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama strategik melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah menggempurkan beberapa premis di sekitar Lembah Klang dan Johor menerusi Op Sikaro bagi membanteras kegiatan penyeludupan tembakau, rokok serta cerut.

Siasatan kini difokuskan kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

Susulan operasi itu juga, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank miik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira RM218 juta dan sedang menyiasat bagi mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat serta syarikat pengimport.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menyatakan komitmen SPRM untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh.

Katanya, SPRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan integriti sistem kawalan negara serta menyebabkan ketirisan hasil negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast