BUKIT MERTAJAM – Lebih ratusan orang menyertai Himpunan Solidariti untuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Antara yang hadir menyatakan sokongan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said; Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Mohammad Najib dan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias.
Muhammad Akmal yang juga ADUN Merlimau diiringi isterinya, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus tiba jam pagi 8.20 pagi disambut dengan bacaan selawat serta laungan ‘Hidup Pemuda’ oleh penyokongnya.
Tinjauan setakat 8.50 pagi mendapati, perhimpunan berlangsung secara aman.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersama tiga individu lain berhubung kenyataan yang didapati menggugat ketenteraman awam di media sosial.
Sementara itu, Muhamad Akmal menerusi catatan di Facebook mengesahkan beliau akan pulang dari Mekah untuk menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Jumaat ini.
“Saya kini sedang menunaikan umrah di Mekah. Oleh itu, saya akan memendekkan ibadah ini dan pulang untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah pada Jumaat, jam 8 pagi,” katanya.
“Jika ini harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci,” katanya. – MalaysiaGazette
















