Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengedarkan jalur gemilang kepada orang awam pada program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen Pasar Seni. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti pelbagai isu khususnya berkaitan keselamatan susulan kes kematian membabitkan peserta Program Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Terengganu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika ditanya mengenai kebimbangan yang dibangkitkan banyak pihak susulan peningkatan kes kematian membabitkan peserta yang menuju ke Terengganu bagi menghadiri himpunan itu yang berlangsung hari ini dan esok, beliau berkata, sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara tersebut.

“Ia himpunan sangat popular yang sudah masuk edisi ketujuh.  Perdana Menteri juga telah mengumumkan sumbangan untuk menjayakan acara berkenaan.  Masa yang sama, semestinya kita mahu mereka (peserta) dapat bergerak dan kembali dengan selamat.

“Saya belum lagi mendapat maklumat terperinci mengenai hal ini…Insya-Allah akan diteliti (mengenai isu keselamatan membabitkan himpunan terbabit),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Kempen Denyut Nadi Merdeka dan Pengumuman Operasi Rapid KL Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68  di LRT Pasar Seni hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lagi peserta Himpunan RXZ Members 7.0 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 45, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam.

Ini adalah kematian keempat membabitkan peserta himpunan sama selepas tiga kes dilaporkan di  lokasi berbeza iaitu di Terengganu dan Pahang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman dipetik berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Roziman Abu Aziz, 36, dari Baling, Kedah meninggal dunia ketika  menerima rawatan di Hospital Gerik.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan meminta supaya semua peserta himpunan permotoran itu memberi penekanan kepada aspek keselamatan dalam perjalanan menuju ke himpunan berkenaan.

“Saya minta supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan kenderaan, (tunggang) dengan cara yang beretika dan selamat. Walaupun ia adalah acara RXZ, tapi kita nak (mereka) pergi dan balik dengan selamat.

“Jadi, saya doakan agar mereka yang telah meninggal dunia  ditempatkan di kalangan orang beriman, diampuni segala dosa. Bagi mereka yang hadir ke acara terbabit, saya turut doakan supaya mereka selamat pergi dan kembali ke destinasi masing-masing,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast