KUALA LUMPUR – Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan membabitkan tujuh negeri sehingga jam 12.00 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata amaran tersebut melibatkan negeri Perlis dan beberapa daerah di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang serta Bandar Baharu.
Selain itu, daerah terlibat di Perak ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama serta Hulu Perak.
“Amaran turut dikeluarkan bagi kawasan tertentu di Selangor meliputi Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, manakala di Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Muar, Batu Pahat, Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru),” katanya.
MetMalaysia menjelaskan, amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda berlakunya ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm sejam yang hampir atau dijangka berterusan lebih satu jam.
Selain itu, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran. – MalaysiaGazette
















