NV. Subbarow

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia mencontohi langkah Singapura yang menganggap vape sebagai isu dadah serta mengetatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitannya.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV. Subbarow berkata, Malaysia juga perlu samakan vape dengan dadah kerana kesannya semakin membimbangkan terutama dalam kalangan remaja.

Kata beliau, banyak produk vape yang dijual dalam negara mengandungi bahan kimia berbahaya dan ketagihan termasuk etomidat.

“Kita tidak boleh menganggap masalah ini ringan kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang. Jika anak muda mati akibat vape, siapa yang mahu bertanggungjawab dan adakah kerajaan mampu membayar ganti rugi?

“Malangnya, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undnagan Negeri (ADUN) di negara ini tidak begitu peduli dengan isu bahaya vape.

“Mereka lebih gemar berunding dengan peniaga vape berbanding memikirkan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Subbarow, CAP turut menekankan statistik menunjukkan bilangan perokok semakin berkurangan, namun penggunaan vape dan e-rokok meningkat mendadak dalam kalangan pelajar, belia serta wanita muda.

“Jika tindakan tegas tidak diambil, kita akan melihat lebih ramai remaja lelaki dan perempuan terperangkap dengan ketagihan dadah melalui vape.

“Baru-baru ini Menteri Kesihatan memberi kenyataan vape akan diharamkan, tetapi bila? Jadi kita mahu penjelasan jelas termasuk pendirian KKM berhubung isu mengharamkan vape,” katanya.

Dalam pada itu, Subbarow berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang menegaskan, vape adalah isu serius dan perlu dikawal ketat demi melindungi generasi muda.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura kerana berani mengumumkan perkara ini semasa perhimpunan Hari Kebangsaan.

“Ia menunjukkan betapa beliau mengambil berat terhadap masa depan generasi muda negaranya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast