JOHOR BAHRU – Dua gegaran gempa bumi berlaku di Kluang dan Segamat yang kedua-duanya berlaku pukul 9 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya memaklumkan, kejadian di Kluang berlaku pada skala 2.8 magnitud kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang.
“Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Sementara di Segamat, satu lagi gegaran susulan akibat gempa bumi berlaku di daerah tersebut.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor dalam kenyataan memberitahu, gegaran susulan itu boleh dirasai secara meluas di daerah tersebut.
APM memaklumkan, penilaian kerosakan harta benda sedang dilakukan dan setakat ini tiada laporan berkaitan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
“Terdapat beberapa kerosakan kecil dan masih dalam proses penilaian pihak berkuasa.
“Anggota APM Segamat sudah bergerak untuk melakukan rondaan, pemantauan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi strategik.
“Pihak polis, bomba, MetMalaysia dan penghulu turut sama terlibat,” jelas APM Johor dalam kenyataan.
Terdahulu Segamat dilanda gegaran dengan skala 4.1 magnitud pada pukul 6.13 pagi tadi.
Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian tersebut.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN















