Bomba selamatkan empat sekeluarga sesat ketika melakukan pendakian di Bukit Berapi, Bukit Mertajam semalam.

BUKIT MERTAJAM – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Berapit Hill Trail di sini, semalam.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Moris Tawih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 malam selepas mangsa gagal menemui laluan keluar selain keadaan semakin gelap.

“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam bersama sebuah jentera LFRT serta sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi sejauh empat kilometer.

“Mangsa terdiri daripada empat sekeluarga iaitu A. Ravindra Kumar, 34; isterinya H. Prayhayine, 33 serta dua anak mereka berusia 11 dan 12 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, operasi mencari turut dibantu pihak polis dan kesemua mangsa ditemui kira-kira jam 10.09 malam dalam keadaan selamat serta mampu berjalan sendiri.

“Ini merupakan kali pertama mereka melakukan pendakian di Berapit Hill Trail, namun difahamkan keluarga tersebut sering melakukan aktiviti riadah di Bukit Tokun sebelum ini.

“Susulan itu, kesemua mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.58 malam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast