KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman mempertahankan kenyataannya berhubung isu pelaksanaan Graduate Pass bagi pelajar Bangladesh di negara ini.
Menurut beliau, kenyataan beliau sebelum ini mempunyai asas yang kukuh, malah laman Facebook rasmi Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh turut mengeluarkan kenyataan hasil pertemuan antara Ketua Penasihat Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Katanya, dalam kenyataan itu, dinyatakan bahawa Malaysia telah bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan pelaksanaan Graduate Pass bagi pelajar Bangladesh.
Sehubungan itu, ujarnya, adalah wajar untuk beliau membangkitkan isu tersebut bagi mendapatkan penjelasan rasmi daripada KPT kerana ia menyentuh kepentingan rakyat Malaysia.
“Persoalan yang saya bangkitkan mudah, mengapa berita mengenai Graduate Pass ini tidak mendapat liputan di media Malaysia, sedangkan ia dilaporkan secara meluas oleh media arus perdana di Bangladesh termasuk pejabat Chief Adviser Goverment of Bangladesh (GOB)?
“Apakah YB Menteri ingin mengatakan kerajaan Bangladesh sanggup berbohong kepada rakyatnya tentang hal sebesar ini?
“Jika benar mereka berbohong, maka adalah wajar kerajaan Malaysia mengarahkan mereka membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan sekaligus mengarahkan mereka menurunkan posting berkaitan perkara ini di laman rasmi Chief Adviser GOB tersebut dan turut dikongsikan oleh Kedutaan Bangladesh di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyatan malam tadi.
Semalam, Zambry menafikan dakwaan pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar dari negara itu bekerja di sini.
Menutut Zambry, dakwaan Haim itu sehingga dijadikan bahan di platform media sosial adalah tidak tepat dan tidak berasas serta hanya berdasarkan laporan media di Bangladesh.
Sementara itu, Haim yang juga bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menuntu Zambry memohon maaf secara terbuka kerana menuduhnya sebagai seorang yang tidak bercakap menggunakan fakta yang benar, tepat dan sahih, malah menggambarkan kenyataan beliau bersifat semborono.
Sedangkan, kata Haim, adalah jelas dalam ucapannya, beliau tidak pernah menyebut bahawa wujudnya sebarang MoU atau perjanjian yang telah ditandatangani.
“Maka, YB Menteri seharusnya lebih berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan terhadap saya. Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak berasas, malah amat tidak bertanggungjawab apabila keluar daripada mulut seorang Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















