ISTANBUL – Pentagon didakwa secara senyap menyekat Ukraine daripada menggunakan sistem peluru berpandu jarak jauh buatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Rusia, dengan kelulusan akhir terletak pada Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar Wall Street Journal pada Sabtu.
Langkah itu mengehadkan keupayaan Kyiv menggunakan peluru berpandu itu dalam mempertahankan negaranya.
Perkembangan ini berlaku ketika Presiden AS Donald Trump semakin lantang menyuarakan rasa kecewa terhadap perang yang berlarutan memasuki tahun ketiga.
Menurut pegawai, proses kelulusan tertinggi yang tidak didedahkan dalam Jabatan Pertahanan AS telah menyekat Ukraine daripada melancarkan sebarang peluru berpandu jarak jauh ATACMS buatan AS terhadap sasaran Rusia sejak akhir musim bunga lalu.
Dalam sekurang-kurangnya satu kejadian, permintaan Kyiv untuk menggunakan peluru berpandu itu terhadap wilayah Rusia telah ditolak, menurut dua pegawai kepada Wall Street Journal.
Selepas sidang kemuncak dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan mesyuarat bersama pemimpin Eropah serta Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Trump pada Jumaat berkata beliau sedang mempertimbangkan semula pilihan untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Moscow atau berpotensi menarik diri daripada proses damai sepenuhnya.
Trump juga berusaha menganjurkan pertemuan empat mata antara Putin dan Zelenskyy, namun usaha itu masih tertangguh.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov memberitahu NBC pada Jumaat bahawa tiada agenda disediakan untuk mesyuarat itu.
Wall Street Journal turut melaporkan bahawa Ketua Dasar Pentagon, Elbridge Colby mewujudkan “mekanisme semakan” untuk menilai permintaan Ukraine menggunakan senjata jarak jauh buatan AS, termasuk sistem Eropah yang bergantung pada risikan atau komponen AS, dengan kelulusan akhir ditentukan oleh Hegseth.
Pegawai AS berkata kenyataan itu tidak menandakan perubahan dasar mahupun penghapusan mekanisme semakan Pentagon yang mengehadkan penggunaan ATACMS dan senjata jarak jauh Barat lain oleh Ukraine.
Namun, seorang pegawai kanan Rumah Putih menegaskan Trump masih boleh mengubah pendirian dan membenarkan operasi ofensif yang lebih meluas terhadap Rusia.
— BERNAMA-ANADOLU
















