SEGAMAT – Polis menerima tiga laporan berhubung kerosakan harta benda selepas kejadian gempa bumi yang berlaku di daerah ini pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan namun pemantauan rapi diteruskan di kawasan berisiko.
“Polis bersama-sama agensi penyelamat lain sentiasa bersiap siaga dan membuat pemantauan berterusan di kawasan tumpuan awam, bangunan kerajaan, kediaman serta rumah ibadat bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
“Setakat ini hanya tiga laporan kerosakan diterima dan keadaan di Segamat masih terkawal,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar melaporkan segera sebarang insiden kecemasan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222.
Terdahulu, gegaran pertama bermagnitud 4.1 dilaporkan berlaku di daerah ini pada pukul 6.13 pagi tadi sebelum sekali lagi berlaku kira-kira pukul 9 pagi.
Pada masa sama, gegaran bermagnitud 2.8 direkodkan berlaku di Kluang juga pada pukul 9 pagi.- MalaysiaGazette
















