Datuk Seri Mohamed Khaled menyampaikan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen esok atau lusa adalah satu langkah yang dapat memperkukuh sistem perolehan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyokong penuh pembentangan tersebut kerana menerusi RUU PK itu mana-mana pihak yang tidak mengikut proses dalam sesuatu tender boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut penggubalan baharu tersebut.

“Ia (teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) merujuk kepada soal umum, oleh kerana majlis itu (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi LIMA) ada kaitan dengan perolehan Kementerian Pertahanan.

“Kerajaan pada minggu depan akan membentangkan akta RUU perolehan kerajaan yang mana seperti Perdana Menteri umumkan, mereka yang melanggar proses tata syarat perolehan ia dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dihukum.

“Maknanya kalau prosedur proses tak diikuti dalam sesuatu tender adalah satu kesalahan dan boleh dihukum melalui akta itu jadi kita sama-samalah tunggu akta itu dibentangkan pada minggu depan, pada esok atau lusa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat di sini, hari ini.

Semalam, Anwar menyatakan rasa segan apabila Malaysia terpaksa mempamerkan kapal perang lama dari tahun 1976 dalam LIMA kerana ketiadaan aset baharu.

Beliau dilaporkan berkata, itu menjadi bahan sindiran antarabangsa dan mencerminkan kelemahan dalam sistem perolehan pertahanan negara walaupun kerajaan membelanjakan jumlah besar untuk sektor itu.

Dalam majlis itu, Anwar menegaskan, kerajaan kini tidak boleh lagi mengulangi kesilapan lalu, sebaliknya memastikan perolehan pertahanan lebih telus dan bebas daripada amalan rasuah serta komisen berlebihan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast