KULAI – Ssbanyak 90 peratus daripada 55 projek perintis bandar pintar yang dikenal pasti dalam Blueprint Bandar Pintar Negeri Johor 2030 sudah dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Shukor berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan kerajaan negeri komited untuk memastikan agenda bandar pintar menjadi agenda utama dalam pembangunan Johor.
“Di samping itu juga, tujuh lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) atau PBT Negeri Johor telah pun mempunyai Pelan Tindakan Bandar Pintar di kawasan pentadbiran masing-masing dan akan membuat pelancaran pada Johor Smart City Forum 2025 (JSCF 2025).
“Antara PBT tersebut Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Mersing (MDS), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Daerah Labis (MDL) dan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP).
“Keadaaan menjadikan Johor antara negeri yang terawal mempunyai Pelan Tindakan Bandar Pintar di semua PBT negeri
Johor,” katanya berucap dalam Majlis Pra Pelancaran JSCF 2025 di Hotel Impiana, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia), Mohd Faizalnizam Md Zain dan Ketua Penolong Pengarah bahagian Kawalan Pembangunan, Bandar Pintar dan Maklumat Digital PLANMalaysia Johor, Mohamad Hussaini Harun.
Jafni berkata, Pelan Tindakan Bandar Pintar itu penting sebagai panduan startegik dan tindakan untuk memastikan pembangunan bandar pintar dapat dilaksana secara terancang, berkesan dan memberi impak yang positif kepada rakyat Johor.
Pada tahun ini katanya, kerajaan negeri di bawah Pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi telah memberi
mandat agar semua PBT di negeri ini menyertai program Penarafan Bandar Pintar yang dilaksanakan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Oleh itu, PLANMalaysia Negeri Johor telah diberikan mandat untuk menyelaras 16 PBT agar memenuhi semua indikator dan layak untuk mengemukakan permohonan penarafan bandar pintar dalam National Smart City Platform oleh KPK,” katanya.
Menurutnya, terdapat tiga tahap sasaran kerajaan negeri untuk penarafan bandar pintar pada tahun ini.
“Antaranya ialah Tahap 1 iaitu Smart City Early Adopter melibatkan lapan PBT iaitu MPPn, MPM, MPK, MDSR, MDYP, MDKT, MDM dan MDL.
“Tahap 2 (Developing Smart City) melibatkan tujuh PBT iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Labis (MDT).
“Tahap 3 (Leading Smart City) pula melibatkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),” katanya.- MalaysiaGazette
















