JOHOR BAHRU – MIC dipersilakan keluar Barisan Nasional (BN) jika menganggap dipinggirkan atau merasa sudah hebat.
Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, sejak kebelakangan ini MIC semakin kuat ‘berdrama’ untuk bertindak keluar BN terutama pada setiap kali mesyuarat perwakilan mereka.
“Ada saja usul nak keluar BN. Kononnya mereka dipinggirkan, kononnya UMNO terlalu mesra Pakatan Harapan (PH) dan kononnya BN tak adil.
“Pendapat saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tebrau, MIC ini tak sedar diri! MIC masih bernafas dalam politik arus perdana hari ini sebab banyak dapat talian hayat daripada UMNO.
“Ini termasuk kerusi majoriti Melayu yang dimenangi hasil kerja kuat jentera UMNO. Tanpa UMNO, MIC mungkin sudah lama pupus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pintu sentiasa terbuka untuk MIC meninggalkan BN dan parti tersebut tidak perlu mengugut.
“Jangan ugut, terus keluar sekarang. Rakyat pun nak tengok, MIC mampu berdiri sendiri atau sekadar tinggal sejarah. Tak payahlah hari-hari ugut. Terus keluar BN. BN pun boleh fokus Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tanpa drama dalaman,” katanya.
Beliau mendakwa, MIC hanya berani membuat ugutan tetapi tidak berani melakukannya malah selepas usul tersebut diutarakan MIC dari bahagian di Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Jelasnya, ini termasuk mahu bekerjasama dengan parti atau gabungan politik lain.
Tindak tanduk MIC itu katanya, menyebabkan beberapa pemimpin UMNO menyuarakan pandangan dan teguran.
“Jadi mesejnya cukup jelas, UMNO tak akan layan politik ugut bermusim. BN perlukan rakan setia, bukan penumpang yang hanya tahu tekan kawan sendiri.
“Kalau MIC nak jadi macam Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) yang keluar UMNO selepas PRU-14 sebab kononnya tak ada masa depan selepas BN tumbang, lihatlah apa jadi pada parti itu, hidup segan, mati tak mahu.
“Gerakan hanya duduk bawa ketiak Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.- MalaysiaGazette
















