KENYATAAN bersama enam persatuan e-hailing dan p-hailing berkenaan RUU Pekerja Gig 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam persatuan berasaskan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing menggesa Ahli Parlimen menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang sedang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat ketika ini.

Mereka dalam kenyataan bersama hari ini mendakwa, RUU itu tidak realistik dan hanya menguntungkan segelintir operator, serta memberi kesan kepada mata pencarian puluhan ribu pemandu e-hailing dan p-hailing.

Jelasnya, RUU itu juga seolah-olah menafsirkan semua pekerja gig berdepan cabaran yang sama, sekali gus dilihat bukan satu penyelesaian sebaliknya lebih menjurus kepada kekeliruan.

Dalam masa sama, mereka turut mempersoalkan pihak yang akan menganggotai tribunal dan majlis konsultatif yang akan dilantik kelak yang disifatkan sekadar pendekatan kosmetik.

“Siapakah yang akan menganggotai Majlis Konsultatif? Apakah jaminan majoriti suara pekerja didengar dan diteliti atau ia sekadar melantik mereka yang mengangguk setuju setiap masa?

“Lagi parah, isu sebenar seperti kadar komisen yang mencekik dan kadar tambang atau kadar upah yang menurun langsung tidak disentuh,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia; Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia; Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah; Persatuan Rakan Penghantar Melaka; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Kesemua persatuan itu mendakwa mempunyai keahlian sehingga 10,000 pekerja e-hailing dan p-hailing.

Dalam masa sama, katanya, RUU itu juga didakwa akan mengurangkan pendapatan bersih, memaksa pekerja gig sektor e-hailing dan p-hailing secara sambilan angkat kaki atau gantung kunci, mematikan persaingan dan menyerahkan ekosistem kepada monopoli.

Jelasnya, apabila bilangan pekerja gig sektor itu berkurangan sedangkan permintaan pelanggan kekal atau meningkat, kos perjalanan dan penghantaran pasti meningkat.

Akibatnya, tambah kenyataan itu, pengguna akan menanggung harga lebih tinggi, perniagaan kecil hilang sokongan logistik dan daya saing ekonomi digital Malaysia tergugat.

“Bila hanya tinggal satu atau dua syarikat besar, kerajaan sendiri akan jadi tebusan korporat.

“Inilah realiti yang menunggu jika RUU ini diteruskan, inilah pengkhianatan sebenar terhadap pekerja dan ekonomi negara,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 mula dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam yang antara lain bertujuan membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia selepas ini mempunyai hak untuk turut menentukan secara bersama dengan penyedia platform atau majikan kadar upah dan bayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast