Syarikat penerbangan popular, Batik Air umum diskaun hingga 35 peratus.

KUALA LUMPUR – Batik Air hari ini mengumumkan pelancaran semula penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX), Osaka, bermula 15 Disember tahun ini.

Penerbangan yang bakal dikendalikan tiga kali seminggu itu menggunakan pesawat badan lebar Airbus A330 dengan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 365 tempat duduk kelas ekonomi.

Pengumuman itu sekaligus menawarkan pengalaman perjalanan lebih selesa dan luas berbanding laluan terdahulu yang beroperasi melalui Taipei dengan Boeing 737 sebelum digantung pada Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan berkenaan antara yang paling dinantikan dalam rangkaian syarikat penerbangan itu.

“Jepun kekal sebagai destinasi impian ramai rakyat Malaysia dan Osaka mempunyai daya tarikan tersendiri dengan sejarah, budaya bandar yang hidup serta kepelbagaian kulinari.

“Dengan memperkenalkan semula laluan ini menggunakan A330, kami teruja kerana bukan sahaja menghubungkan semula dua bandar dinamik tetapi turut meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy

Selain penerbangan harian Kuala Lumpur–Tokyo (Narita), pelancong kini mempunyai lebih fleksibiliti untuk masuk melalui Osaka dan pulang dari Tokyo atau sebaliknya.

Pembukaan semula laluan itu juga dilihat selari dengan persediaan negara menyambut Visit Malaysia 2026 yang memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab transit serantau dengan sambungan penerbangan ke Indonesia, ASEAN dan destinasi antarabangsa lain.

Tambang bagi laluan Kuala Lumpur–Osaka bermula daripada RM599 sehala untuk Kelas Ekonomi dan RM3,599 sehala untuk Kelas Perniagaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual penerbangan, promosi semasa dan tempahan tiket, orang ramai boleh melayari www.batikair.com atau memuat turun aplikasi mudah alih Batik Air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast