PUTRAJAYA – Pihak sekolah mengutamakan keselamatan pelajar yang jatuh daripada tingkat tiga asrama sekolah di Sabak Bernam untuk dibawa ke hospital terlebih dahulu.
Oleh sebab itu berlaku kelewatan pemakluman kejadian kepada bapa pelajar, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad susulan kejadian pelajar jatuh yang dilaporkan awal pagi tadi.
“Kita kena faham dalam keadaan (itu) kecemasan, kita berikan tumpuan pada keselamatan pelajar dulu.
“Saya percaya ini (keutamaan) yang diambil oleh guru saya dan pada masa itu, bila pelajar sudah sampai ke hospital, barulah kita akan fikir perkara lain.. yang kita fokuskan adalah keselamatan pelajar dulu,” katanya pada sidang media khas berkenaan kejadian itu di Kementerian Pendidikan di sini petang ini.
Menurut Mohd Azam, lazimnya tiada lagi aktiviti dilakukan selepas pukul 10.30 malam di asrama.
“Selalunya Prosedur Operasi Standard (SOP) tiada aktiviti dilakukan malam di asrama dan sekolah kecuali ada yang dianjurkan dengan kehadiran guru,” katanya.
Terdahulu pihak sekolah memaklumkan ambulans tiba di sekolah pada pukul 3.20 pagi dan kemudian tiba di Hospital Sabak Bernam pada lebih kurang pukul 3.41 pagi.
Mengulas lanjut, beliau mengesahkan pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Pasukan perubatan hospital tersebut kini memantau kecederaan yang dialami di kepala dan otak pelajar tersebut, katanya.
Sebelum itu Mohd Azam memaklumkan beliau melawat pelajar tersebut dan bertemu dengan warisnya di hospital yang sama.
Seperti mana kenyataan yang dibuat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Mohd Azam sekali lagi memberi jaminan siasatan dalaman yang dibuat demi mengenal pasti punca kejadian termasuk siasatan sama ada wujud unsur buli, pergaduhan dan gangguan seksual.
“Kita juga arahkan supaya bacaan Yasin dan solat hajat dibuat agar pelajar diberiken kesembuhan,” katanya lagi.
Tambahnya, KPM bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis dan menyerahkan siasatan dilaksanakan secara telus.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Menurut waris pelajar berkenaan, mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Difahamkan, keputusan imbasan CT scan mendapati pelajar berkenaan mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Susulan kejadian, Fadhlina berkata, pengetua, penolong kanan hal ehwal murid serta semua warden sekolah tersebut ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Katanya, arahan tersebut adalah sehingga proses siasatan termasuk dakwaan berlakunya kes buli di sekolah terbabit selesai. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pelajar jatuh dari tingkat 3: Pengetua, PK HEM, warden ditempatkan sementara di JPN
















