SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang membangunkan Advanced Passenger Screening System (APSS) membolehkan saringan penumpang dilakukan lebih awal dalam meningkatkan keselamatan perjalanan udara
Menterinya, Datuk Seri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ujian percubaan sistem ini akan dilakukan pada hujung tahun ini membabitkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.
Menurut beliau, sistem berkenaan akan memberikan maklumat ketibaan pengembara lebih awal sebelum mereka tiba di negara ini.
“Akhirnya kita akan ada APSS, dari sudut agensi kawalan adalah (dibawah) KDN, dari sudut perolehan (juga) dibuat oleh KDN. Kita sudah selesaikan perolehan, vendor telah dilantik (dan) mereka sedang membangunkannya.
“Dry run (ujian percubaan) kita adalah hujung tahun ini, saya ingat bulan 9 atau 10 tahun ini, di sini (ada) lebih kurang 56 syarikat penerbangan yang beroperasi, jadi untuk ‘kick off’ kita akan buat dulu melibatkan 10 syarikat penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, di Persada Kita Bermaruah oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Saifuddin menjelaskan, pelaksanaan APSS dipantau oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Katanya, organisasi berkenaan telah beberapa kali datang ke negara ini bagi memastikan kepatuhan pelaksanaan APSS mengikut jadual.
Katanya, selain dapat menerima butiran awal mengenai para penumpang, sistem berkenaan juga akan dapat mencegah insiden-insiden keselamatan daripada berlaku.
“Pengembara yang masuk ke (negara) ini dengan menggunakan 10 syarikat penerbangan tersebut akan mengguna pakai sistem tersebut. Maknanya nama penumpang, nombor pasport, tempat duduk dia atau makanan yang dia pesan semua itu ada dalam butiran (sistem).
“Kelebihannya adalah kepatuhan seorang pengembara sebelum memulakan perjalanan, (kita) akan tahu (butiran) sebelum dia terbang lagi. Jadi ia akan mengurangkan insiden seperti NTL (not to land) dan isu keselamatan akan lebih mudah kita mitigasi,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















