KEMURUNGAN adalah salah satu masalah kesihatan mental yang paling kerap di dunia selepas gangguan kegelisahan, menjejaskan lebih 280 juta orang di dunia. Untuk kes sederhana sehingga teruk, ubat antidepresan biasanya menjadi rawatan utama yang digunakan.
Namun begitu, hanya sekitar satu pertiga hingga dua pertiga pesakit yang benar-benar pulih dengan ubat antidepresan. Persoalannya, mengapa kemurungan masih berlarutan walaupun pesakit telah menerima rawatan yang mencukupi?
Bagi mencari jawapan tersebut, kami menjalankan satu kajian di University of Oxford untuk melihat bagaimana cara seseorang memproses emosi boleh mempengaruhi keberkesanan rawatan. Kajian ini membandingkan 54 pesakit kemurungan yang tidak menunjukkan tindak balas yang baik terhadap ubat antidepresan dengan 45 individu yang sihat.
Kami menggunakan satu set ujian komputer yang dikenali sebagai emotional testing battery untuk menilai kebolehan peserta memproses emosi, termasuk mengenal pasti ekspresi wajah dan mengingati perkataan yang menggambarkan personaliti diri.
Dalam salah satu ujian, peserta diminta untuk menilai sama ada mereka suka atau tidak jika digambarkan dengan sifat tertentu, misalnya “bijak” atau “bosan.” Tugasan ini mengukur bagaimana otak mereka menyimpan maklumat positif atau negatif tentang diri sendiri.
Selepas beberapa minit, mereka juga diminta menulis semula perkataan tersebut untuk melihat sejauh mana mereka boleh mengingati perkataan-perkataan tersebut. Selain itu, peserta turut dinilai dari segi kemampuan untuk mengenal pasti emosi pada wajah yang dipaparkan di skrin komputer.
Jadi apa yang kami temui?
Ingatan cenderung negatif: Pesakit kemurungan memberikan tindak balas yang sama terhadap sifat positif dan negatif yang dipaparkan. Sebaliknya, individu sihat
pula memberikan respon yang lebih cepat kepada sifat positif berbanding negatif dan mengingatinya dengan lebih baik.
Tahap kemurungan mempengaruhi kelajuan pemprosesan emosi: Semakin teruk gejala kemurungan, semakin lambat pesakit memproses sifat positif.
Tiada perbezaan dalam mengenal ekspresi wajah: Tiada perbezaan ketara dalam kebolehan mengenal pasti ekspresi wajah antara pesakit kemurungan dan individu
sihat.
Penemuan ini menunjukkan bahawa bias negatif dalam ingatan mungkin menjadi sebab mengapa kemurungan sukar hilang walaupun pesakit telah diberikan rawatan ubat
antidepresan yang mencukupi dari segi dos dan tempoh rawatan.
Jika disahkan melalui kajian jangka panjang, ia boleh membuka jalan kepada penemuan bentuk rawatan baharu yang dapat mengubah pemprosesan emosi ke arah yang lebih
positif terutamanya dari aspek memori.
Dr Fitri Fareez Ramli ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang farmakologi di Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan kepakaran dalam neuropsikofarmakologi dan pemprosesan emosi dalam gangguan mood.
















