KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berjalan melibatkan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.
UTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, universiti itu kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berwajib.
“Pada masa sama, universiti menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap keluarga Allahyarham dan akan terus menyediakan sokongan kaunseling, bantuan psikososial serta bimbingan kebajikan kepada keluarga dan warga kampus yang terkesan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Semasa membacakan keputusan, beliau berkata, Ketua Polis Negara selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung kepada seorang guru itu, yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.
Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lalu.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan. – MalaysiaGazette
















