Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 500,000 orang pelajar institut pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT, merangkumi universiti awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) akan menikmati inisiatif Baucar Buku Madani bernilai RM100 kepada para pelajar bermula esok hingga 12 Disember 2025.

KPT berkata, pelaksanaan inisiatif ini akan dibuat menerusi portal https://mysiswaplace.my/ (MySiswaPlace) sebagai platform sehenti bagi semakan kelayakan, penjanaan serta penebusan baucar, dan pembelian bahan bacaan secara atas talian sepenuhnya.

Portal ini menawarkan lebih 1 juta judul bahan bacaan, termasuk buku fizikal dan e-book yang disediakan oleh lebih 250 rakan niaga. Baucar boleh digunakan oleh semua pelajar yang layak untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah serta pelbagai lagi.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar, meringankan beban kewangan
pelajar dan bermatlamat bagi membudayakan amalan membaca di kalangan generasi muda, terutama golongan mahasiswa serta merancakkan pertumbuhan ekonomi
industri buku.

KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif Baucar Buku Madani ini.

Kementerian ini berharap semua pelajar berkelayakan dapat memanfaatkan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri, selaras dengan fokus utama KPT melahirkan bakat terbaik negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast