MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan enam kru vesel nelayan tempatan (VNT) kerana memiliki dadah pada kedudukan 3.3 batu nautika Timur Laut Tanjung Kempit, di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, semua suspek ditahan pukul 10 pagi selepas menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Hasil pemeriksaan lanjut juga menemukan, dua tiub plastik berwarna lutsinar berisi hablur berwarna putih disyaki dadah jenis syabu berat 0.73 gram milk salah seorang kru vesel yang ditahan.
“Enam individu terbabit adalah lelaki berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun kru dari sebuah bot nelayan tempatan yang merupakan warga Laos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, semua mereka dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Suhaizan berkata, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau menyeru masyarakat terutama komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di
talian 07-2199404.
Terdahulu, Zon Maritim Mersing turut menerima lawatan kerja rasmi Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor Bahru, Mohd Faisal bin Maksom dan Ketua Pegawai AADK Mersing, Zaleha Abdullah.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan dan pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim terutama nelayan.- MalaysiaGazette















