JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyisiat tindakan sebuah kereta Singapura yang didakwa mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di bandar raya ini, Selasa lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, siasatan dijalankan susulan gambar berkenaan dimuat naik dan tular dalam media sosial.
“KPDN Johor telah menghantar anggota ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum itu, tular video berdurasi 53 saat memaparkan seorang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak.
Seorang lelaki tempatan menghampiri pemilik kenderaan terbabit dan meminta tidak mengisi RON95.
Tindakan lelaki yang mengenakan baju batik itu mendapat pujian kerana tindakan segera diambil tanpa sebarang insiden provokasi berlaku. – MalaysiaGazette
















