KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan pihak berwajib susulan pelaksanaan semula bedah siasat ke atas Allahyarham Syamsul Haris.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memastikan keadilan kepada Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia itu dapat ditegakkan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/08/26/mahkamah-perintah-kubur-syamsul-haris-digali-semula/
“Kementerian Pertahanan juga akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan mengikut prinsip undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah supaya kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan yang dibuat ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua dijalankan.
Dalam masa yang sama, hakim memerintahkan supaya bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas kubur digali dan jasad Allahyarham dikeluarkan.
Katanya, penggalian kubur akan dilaksanakan dengan kehadiran pakar patologi forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam mewakili keluarga atau wakilnya.
Tambah beliau, suatu perintah bagi seorang pakar patologi forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan bedah siasat semula. -MalaysiaGazette
















