Ibu pelatih PALAPES, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, bercakap pada media selepas mahkamah memerintahkan untuk gali semula kubur anaknya yang merupakan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTM, Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2025.

 

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah supaya kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan yang dibuat ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua dijalankan.

Dalam masa yang sama, hakim memerintahkan supaya bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas kubur digali dan jasad Allahyarham dikeluarkan.

“(Penggalian kubur) dengan kehadiran pakar patologi forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam mewakili keluarga atau wakilnya.

“Suatu perintah bagi seorang pakar patologi forensik dari Hospital Kuala Lumpur  (HKL) untuk melakukan post moterm semula,” katanya.

Hakim turut memerintahkan supaya laporan bedah siasat disiapkan dalam tempoh  munasabah.

“Satu salinan (laporan bedah siasat) hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon,” tambahnya.

Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Poster mengenai kematian  pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dipegang oleh keluarga di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2025.

Dalam permohonannya, Ummu Haiman memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu bedah semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Beliau memohon bedah siasat itu dijalankan  dengan kehadiran pakar forensik  dan dihadiri peguam atau  wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Beliau juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.

Ummu Haiman turut memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Ummu Haiman Bee diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili responden pertama manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast