Gambar pertunangan Taylor Swift dan Travis Kelce

LOS ANGELES – Bintang terkenal Taylor Swift dan pemain NFL, Travis Kelce mengumumkan pertunangan mereka di media sosial, pada Selasa.

Dalam hantaran bersama di Instagram, pasangan itu menulis: “Guru bahasa Inggeris anda dan guru gim anda akan berkahwin”, disertakan dengan gambar pemain Kansas City Chiefs itu sedang melamar Swift.

Foto-foto yang dimuat naik menunjukkan pasangan dari Amerika itu berada di taman yang dipenuhi bunga merah jambu dan putih.

Terdapat sekeping gambar memperlihatkan Kelce berlutut sambil memandang Swift, manakala sekeping lagi menampakkan sebentuk cincin berlian bersaiz besar di jari manis Swift.

Petikan lagu Swift “So High School” dimainkan sebagai latar dalam hantaran tersebut.

Pertunangan itu mendapat sambutan hangat di media sosial, dengan lebih 17 juta tanda suka di Instagram menjelang petang Selasa. NFL turut mengucapkan tahniah.

Tarikh perkahwinan bagaimanapun belum diumumkan.

Kedua-duanya mula bercinta pada 2023 selepas penyanyi itu membuat persembahan di Stadium Arrowhead – gelanggang rasmi Chiefs.

Ketika itu, Kelce menceritakan dalam podcast “New Heights” bahawa beliau kecewa kerana tidak sempat berjumpa dengan Swift dan memberinya nombor telefon semasa konsert berlangsung. Swift tertarik dengan pengakuan terbuka itu.

Hubungan mereka mula diketahui umum apabila Swift hadir menyaksikan perlawanan Chiefs untuk memberi sokongan kepada Kelce pada September 2023.

“Kami sebenarnya mempunyai masa yang agak lama bercinta tanpa pengetahuan sesiapa dan saya bersyukur kerana kami berpeluang mengenali antara satu sama lain,” kata Swift kepada majalah Time pada 2023, ketika beliau dinamakan sebagai “Person of the Year”.

“Menjelang perlawanan pertama itu, kami sudahpun menjadi pasangan,” tambah pelantun lagi Midnight Rain itu.

Lamaran itu berlangsung di sebuah taman di Lee Summit, Missouri, kawasan pinggir bandar Kansas City, menurut bapa Kelce, Ed Kelce.

Ucapan tahniah mencurah-curah daripada peminat, pasukan sukan, dan rakan-rakan pasangan tersebut. “It’s a love story,” kata ramai pengikut di media sosial, merujuk kepada lagu hit Swift pada 2008.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang pernah menulis “SAYA BENCI TAYLOR SWIFT” di media sosial pada September 2024, ketika ditanya mengenai pertunangan itu berkata kepada wartawan: “Saya doakan mereka mempunyai banyak tuah.”

Beliau menambah: “Saya rasa dia (Kelce) seorang pemain yang hebat, seorang lelaki yang baik, dan saya fikir Taylor seorang insan yang luar biasa.” –AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast