Tangkap layar CCTV menunjukkan kelibat suspek memasuki pejabat tersebut.

GEORGE TOWN – Pejabat operasi Kopa Arena Penang di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, dipecah masuk menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 apabila kenderaan rasmi, set kamera, jersi pasukan dan wang tunai hilang.

Pengurus pejabat operasi itu, Muhammad Fazren Mohamed Khalid berkata, antara barangan yang dilarikan termasuk sebuah Ford Raptor yang dibalut logo Penang FC, kamera jenis Canon bersama dua lensa digunakan untuk liputan perlawanan, beberapa helai jersi serta sejumlah wang tunai.

Katanya, beliau menyedari kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 8 pagi hari ini daripada pekerja pembersihan yang memaklumkan keadaan pejabat dalam keadaan berselerak.

“Pada mulanya saya tidak syak apa-apa dan hanya meminta pekerja teruskan tugas. Namun ketika tiba, saya dapati kenderaan rasmi penaja tiada di parkir.

Kenderaan yang dilarikan pencuri.

“Saya sangka kenderaan itu dipandu kakitangan, rupa-rupanya sudah dicuri,” katanya sambil menambah laporan polis berhubung kejadian telah dibuat di Balai Polis Sungai Nibong.

Menurut beliau, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian berlaku pada jam 5 pagi ketika hujan lebat, dengan kelibat seorang individu memakai topi keledar serta pelitup muka.

“Ini kejadian pertama membabitkan pencerobohan di pejabat operasi ini walaupun ia terletak dalam kawasan universiti. Kami juga akan mendapatkan kerjasama USM untuk meneliti rakaman CCTV di sekitarnya,” katanya.

Difahamkan, kenderaan Ford Raptor berkenaan ditemukan semula di kawasan Changkat Bukit Gambir di sini, namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast