JOHOR BAHRU – Sorang lelaki diburu kerana mencuri beg tangan milik seorang jemaah wanita warga emas di sebuah masjid di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pukul 8.40 malam ketika mangsa berusia 71 tahun berada dalam masjid berkenaan.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan R Kogilan 016-9290033 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam 07-3864222.
Terdahulu video kejadian itu yang berdurasi 2 minit 17 saat tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju putih dan berkain pelikat mengambil beg tangan milik jemaah wanita di ruang solat wanita.- MalaysiaGazette
















