KUALA LUMPUR – Positive Image, inisiatif utama Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) yang menawarkan perkhidmatan dan sokongan kepada pesakit serta keluarga membuka cawangan keempat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Sempena pembukaan cawangan itu, ia juga menawarkan produk dan peralatan yang menyokong proses pemulihan fizikal selaras dengan matlamat rehabilitasi yang lebih menyeluruh.
Antara produk yang ditawarkan termasuklah barangan penjagaan kesihatan, alat bantuan pemulihan dan mobiliti, serta barangan keperluan harian pesakit seperti susu khas dan lampin pakai buang.
Penyayang turut menyampaikan sumbangan kupon bernilai RM5,000 kepada Hospital Rehabilitasi Cheras untuk diagih kepada pesakit yang memerlukan bantuan pembelian produk rehabilitasi di Positive Image HRC sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka.
Dalam pada itu Penyayang melalui Positive Image turut menyumbang enam buah lukisan batik kepada HRC untuk dipamerkan di Wad Rehabilitasi Pediatrik.
Penyerahan itu dilakukan oleh Pengerusi Penyayang Nori Abdullah.
Lukisan batik tersebut dihasilkan semasa sambutan Hari Batik Malaysia 2024 yang disertai 200 kanak-kanak dan orang awam. – MalaysiaGazette
















