KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang dibentangkan kerajaan disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan moden ke atas pemilik hartanah dan perlu ditolak sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, RUU URA dalam bentuk sedia ada mencabul prinsip asas Perlembagaan Persekutuan dan mengancam hak pemilikan hartanah rakyat.
Menurut beliau, kandungan rang undang-undang itu membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi oleh pihak berkepentingan, khususnya pemaju swasta, sekali gus melemahkan prinsip demokrasi pemilikan bersama.
“Usul untuk membolehkan kerajaan mengambil alih bangunan berdasarkan persetujuan hanya 80 peratus pemilik bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, dan 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun amat membimbangkan.
“Lebih membimbangkan, ambang ini diturunkan kepada hanya 51 peratus untuk bangunan yang diisytihar terbengkalai atau tidak selamat, tanpa mekanisme pengesahan yang bebas dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, konsep “persetujuan majoriti” yang longgar dalam RUU itu berisiko membawa kepada situasi “consent by coercion” – atau persetujuan yang diberi secara terpaksa – dan bukan dengan kefahaman atau kehendak sebenar pemilik hartanah.
Beliau turut mempersoalkan justifikasi umur 30 tahun sebagai asas pembaharuan semula bandar, sedangkan kebanyakan struktur bangunan di Malaysia dianggarkan mampu bertahan lebih 70 hingga 100 tahun berdasarkan taksiran Jabatan Kerja Raya (JKR) dan amalan kejuruteraan semasa.
“Ini membuktikan motif di sebalik RUU ini bukan demi kepentingan awam, tetapi lebih menjurus kepada pengambilalihan yang menguntungkan pemaju, manakala pemilik asal hanya menerima pampasan minimum, tanpa akses kepada nilai tambah atau hasil pembangunan semula,” katanya.
Tambah beliau, RUU URA juga tidak mengandungi sebarang elemen perlindungan penting kepada rakyat, termasuk ambang persetujuan 100 peratus, pampasan melebihi nilai pasaran semasa, jaminan perlindungan kepada mereka yang tidak bersetuju, dan keperluan penilaian kelayakan pemaju.
Lebih membimbangkan, katanya, ketiadaan peruntukan untuk penubuhan tabung penyelenggaraan bangunan atau kemudahan awam membayangkan RUU ini dibentangkan secara tergesa-gesa tanpa kajian impak sosial menyeluruh atau libat urus awam yang bermakna.
Dr Armin berkata, penolakan terhadap RUU ini bukan sahaja datang daripada pemilik rumah, malah turut disuarakan oleh pelbagai pertubuhan masyarakat sivil seperti Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Gabungan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Mampan (KLRA+SD), FOMCA dan Lawyers for Liberty.
Penolakan ini juga mendapat sokongan parti politik dan kerajaan-kerajaan negeri dalam blok SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), serta Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional merentasi parti.
“Kesemua pihak ini konsisten memberi amaran tentang risiko pengusiran paksa, penguasaan golongan elit dan eksploitasi sosioekonomi yang terkandung dalam pelaksanaan RUU tersebut.
“Apa yang lebih membimbangkan, dasar ini digubal ketika rakyat sedang bergelut mempertahankan kediaman dan harta terakhir mereka dalam suasana ekonomi yang mencabar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menghentikan serta-merta pembentangan RUU URA di Parlimen dan menstruktur semula keseluruhan proses pembaharuan bandar secara inklusif dan berteraskan prinsip keadilan sosial serta hak milik rakyat.
“Jika kerajaan benar-benar mahu memperbaharui bandar demi rakyat, proses ini mesti dibentuk semula dari awal dengan penyertaan aktif rakyat, bukan dipaksakan demi keuntungan pemaju,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

















org kaya yg x reti bersyukur, seronok tengok melayu merempat di flat usang, kotor, sempit, sarang maksiat dadah.. tuan x layak bercakap.. dah lawat ke flat2 usang ni?