Dr Zuhan Zain

JOHOR BAHRU – Sudah tiba masanya UMNO Johor menyatakan pendirian jelas sama ada terus bersama-sama Pakatan Harapan (PH) atau memilih pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, ketika ini pihaknya menerima dan mengambil maklum terdapat beberapa kawasan Amanah telah mengemukakan usul supaya pertandingan tiga penjuru dipertimbangkan.

“Hal ini mencerminkan keresahan akar umbi berkenaan kedudukan politik semasa yang masih belum menentu.

“Pendirian UMNO Johor amat penting bagi membolehkan perbincangan yang lebih tuntas tentang hala tuju politik gabungan masing-masing di negeri ini.

“Ketidaktentuan hanya akan melemahkan kekuatan bersama, sekaligus memberi ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu katanya, Amanah Johor menyeru seluruh kepimpinan PH Johor bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.

Beliau berkata, dalam hal ini Amanah Johor mengingatkan UMNO agar tidak berdalih dan pucuk pimpinan jangan menyatakan sesuatu manakala peringkat bahagian pula membawa mesej yang berbeza.

“Sikap sebegini hanya menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat dan rakan gabungan. Kejujuran dalam pendirian adalah asas untuk membina keyakinan serta kekuatan bersama,” ujar Ketua Amanah Kawasan Kluang itu.

Zuhan berkata, persiapan rapi, penyelarasan jentera dan keutuhan semangat gabungan perlu digerakkan tanpa lengah.

Kejujuran dan kejelasan pendirian politik katanya, adalah asas untuk membina keyakinan rakyat.

Justeru keputusan rasmi UMNO Johor amat diperlukan bagi memastikan hala tuju politik negeri dapat disusun secara berkesan dan berpandangan jauh, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast